Wednesday 17 April 2019

Legenda Gunung Kinabalu

Pemandangan Gunung Kinabalu dari pekan Kundasang. Sumber: Wikipedia

Sebut sahaja Gunung Kinabalu, pasti ramai yang mengetahui akan keunikan gunung yang tertinggi di Malaysia ini. Dengan ketinggian 4,095.2 meter dari aras laut, gunung ini dianggap sebagai gunung suci oleh kaum Kadazandusun yang merupakan penduduk asli Sabah.

Mengikut sejarah, mendaki gunung adalah ditegah sama sekali pada suatu ketika dahulu. Ini kerana mereka (penduduk asli) mempercayai perbuatan ini akan mengundang kemarahan roh-roh nenek moyang yang dipercayai mendiami gunung tersebut.

Namun begitu selepas tahun 1851, larangan ini berubah selepas seorang Gabenor British yang memerintah pada masa itu iaitu Sir Hugh Low membuat ekspedisi mendaki gunung Kinabalu untuk mempersembahkan korban bagi menenangkan jiwa roh nenek moyang Kaum Kadazandusun.

Sir Hugh Low. Sumber: Wikipedia

Nama Kinabalu dipercayai berasal daripada gabungan dua suku kata iaitu "Aki" yang bermaksud nenek moyang kaum Kadazandusun dan "Nabalu" yang bermaksud gunung di mana roh nenek moyang mereka tinggal. Oleh itu, sememangnya sudah nyata bahawa masyarakat ini mempercayai bahawa gunung Kinabalu adalah merupakan tempat tinggal roh-roh nenek moyang mereka yang sudah meninggal dunia.

Jika anda berjaya mendaki gunung Kinabalu sehingga ke puncaknya, pasti anda akan melihat terdapat banyak telaga dan lopak-lopak air yang terbentuk secara semulajadi. Masyarakat Kadazandusun mempercayai bahawa tempat tersebut adalah merupakan tempat roh-roh nenek moyang mereka bermandi-manda. Terdapat juga segelintir Bobohizan (bomoh masyarakat Kadazandusun) yang akan mencuci badan dan mengambil air dari telaga dan lopak air untuk diminum bertujuan untuk membuang sial. Kini, telaga dan lopak air berkenaan dijadikan sebagai kolah harapan (wishing well) oleh para pendaki yang mendaki gunung tersebut. Mereka akan membaling duit syiling ke dalam telaga tersebut sebagai cara untuk menghormati roh-roh nenek moyang kaum Kadazandusun supaya tidak menganggu semasa mendaki dan turun dari gunung.

Telaga semulajadi di Gunung Kinabalu. Sumber: Taman Negara Sabah

Pada kebiasaannya, para pendaki akan diingatkan oleh pemandu gunung supaya tidak melakukan perbuatan yang tidak sopan semasa mendaki. Perbuatan seperti membuat bising, memanggil nama orang sesuka hati, ketawa terbahak-bahak adalah dilarang sama sekali. Para pendaki juga dinasihatkan agar tidak membuang air kecil di lopak-lopak air yang terdapat di atas gunung kerana dikhuatiri akan menyebabkan kemarahan makhluk halus di situ. Selain menjaga tatatertib, para pendaki juga diingatkan supaya menjaga etika pemakaian semasa mendaki.

Anda suka artikel ini? Sila kongsi dengan yang lain!