Monday 4 February 2019

5 Jalan menyeramkan di Sabah

Apakah perasaan anda apabila melalui jalan yang menyeramkan terutamanya pada waktu malam? Tentu takut bukan? Berikut merupakan 5 jalan yang paling menyeramkan di Sabah;

1. Jalan Ranau - Kota Kinabalu

Dikatakan terdapat gangguan pontianak di sekitar kawasan jalan antara Ranau ke Kota Kinabalu. Menurut cerita dari beberapa orang, pontianak tersebut akan mengilai dan mengikuti kereta sehingga ke kawasan tertentu. Tidak dapat dipastikan kawasan yang spesifik namun disarankan pengunjung untuk berhati-hati semasa melalui jalan ini terutamanya waktu malam untuk mengelakkan gangguan makhluk tersebut.

2. Jalan Kota Belud - Ranau

Jalan ini merupakan jalan alternatif dari Kota Belud ke pekan Ranau sekiranya anda tidak ingin untuk pergi ke Kota Kinabalu. Suasana sunyi pada waktu malam dan kurang kenderaan yang lalu lalang menjadikan jalan ini lebih menyeramkan. Terdapat beberapa kisah kenderaan yang tiba-tiba mati enjin tanpa sebab munasabah semasa melalui jalan ini pada waktu malam.

3. Jalan Bukit Melinsung Papar

Gangguan makhluk berbaju putih yang melambai-lambai di tepi jalan seolah-olah ingin menahan kenderaan dikatakan sering kali berlaku kepada pengguna jalan raya di kawasan ini semasa waktu malam. Dari jauh ia akan kelihatan seperti seorang manusia sedang berusaha untuk memberhentikan kenderaan supaya menumpangkannya namun apabila kenderaan semakin dekat baharulah pemandu menyedari bahawa yang melambaikan tangan tersebut bukanlah manusia biasa.

4. Jalan Membakut - Binsuluk - Kuala Penyu

Sepanjang perjalanan dari Membakut - Binsuluk - Kuala Penyu dikatakan berpenunggu. Kononnya ada peninggalan istana di sebuah bukit di kawasan berdekatan Kinarut. Gangguan misteri di kawasan ini lebih menyerupai makhluk aneh yang kelihatan seperti anjing dengan lidah yang terjelir keluar dan bertelinga panjang tajam. Makhluk tersebut bersaiz lebih besar daripada manusia, berbulu coklat kemerahan dan duduk mencangkung. Dikatakan lutut makhluk tersebut lebih tinggi daripada kepala.

5. Jalan Tenom - Sipitang

Jalan ini agak sunyi dan menakutkan untuk dilalui terutamanya pada waktu malam. Agak jarang kelihatan kawasan perkampungan di kawasan ini. Di kawasan kiri dan kanan jalan ini dipenuhi dengan hutan. Terdapat beberapa cerita yang menyatakan diganggu oleh kenderaan misteri semasa melalui jalan ini pada waktu malam.