Thursday 2 February 2017

Kenali Sabah





Sabah adalah merupakan sebuah negeri kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak dengan keluasan 73 620 km persegi. Jumlah penduduk di Sabah mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2015 adalah seramai 354, 350, 000 orang. 

Sabah kaya dengan sumber-sumber semulajadi seperti hutan,  galian, flora dan fauna hinggalah hidupan laut. Lebih kurang 60% daripada kawasan tanah di Sabah diliputi dengan hutan rimba manakala kawasan pertanian merangkumi sebanyak 30% daripada keluasan tanah Sabah. Ini menjadikan sumber ekonomi utama di negeri Sabah adalah merupakan kegiatan pertanian dan perhutanan selain daripada sumber ekonomi lainnya seperti  pelancongan, minyak, tembaga, emas dan batu kapur.

Asal-usul nama Sabah dipercayai berasal daripada sejenis pisang yang dikenali sebagai pisang "Saba", atau "Sabbah", atau "Sappah" oleh masyarakat Bajau. Mengikut sejarah, nama Sabah pertama kali digunakan pada abad ke - 15 oleh para pedagang yang berdagang di Kepulauan Borneo. Ini bermakna negeri yang juga dikenali sebagai Negeri Di Bawah Bayu ini telah dipanggil sebagai Sabah sejak sebelum kedatangan Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan British. Di dalam peta Portugis Melaka 1604, bandar utama Sabah iaitu Kota Kinabalu disebut sebagai Api-Api. Setelah Sabah diambil alih oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara, nama Sabah ditukar kepada Borneo Utara pada tahun 1881. Namun begitu selepas Sabah menyertai Malaysia pada tahun 1963, nama Sabah kembali digunakan.

Selain kaya dengan flora dan fauna, Sabah juga kaya dengan kepelbagaian kaum, budaya dan adat resam tradisional. Terdapat sekurang-kurangnya 33 etnik suku kaum yang mendiami negeri Sabah antaranya ialah Kadazan Dusun, Bajau, Murut, Lundayeh. Bisaya, Kedayan, Iranun, Brunei, Rungus, Orang Sungai dan lain-lain. 

Kaum bumiputera asli terbesar Sabah ialah kaum Kadazan Dusun yang membentuk 1/3 daripada masyarakat di Sabah. Kaum yang dipercayai berasal daripada Indo-China ini menggunakan pelbagai bahasa dan dialek dengan kepelbagaian budaya dan adat resam tradisional. Terdapat 27 suku kaum di dalamnya antaranya Kadazan, Dusun Liwan, Dusun Tindal, Dusun Pahu, Dusun Lotud, Rungus, Dusun Labuk, Orang Sungai, Dusun Tambanou, Dusun Kimaragang dan lain-lain. Secara ringkasnya kaum ini kebanyakkannya adalah merupakan petani tradisional yang menanam padi bukit (huma) dan padi biasa (sawah). 


Gambar sumber ihsan daripada Google
Pakaian tradisional masyarakat Kadazan Dusun

Kaum kedua terbesar di Sabah ialah kaum Bajau yang merangkumi 15% daripada jumlah penduduk Sabah. Umumnya etnik pribumi ini tinggal di kawasan Pantai Barat Sabah dan Pantai Timur Sabah. Pekerjaan utama mereka ialah petani dan nelayan. Kaum Bajau di Sabah terbahagi kepada dua kumpulan iaitu etnik Bajau yang tinggal di kawasan Pantai Barat Sabah dan etnik Bajau yang tinggal di kawasan Pantai Timur Sabah. Masyarakat Bajau di kawasan Pantai Barat Sabah terkenal dengan "Koboi Timur" kerana kehebatan menunggang kuda, manakala kaum Bajau yang tinggal di kawasan Pantai Timur Sabah pula lebih dikenali sebagai pelaut dan kadang-kadang dirujuk sebagai "Sea Gypsies" kerana cara pelayaran mereka.


Gambar sumber ihsan daripada Google
Pakaian tradisional wanita Bajau

Kaum Murut yang dikenali sebagai "Head Hunter" atau pemotong kepala di suatu ketika dahulu merupakan kaum ketiga terbesar di Sabah. Masyarakat pribumi ini merangkumi 3% daripada jumlah masyarakat pribumi di Sabah. Kawasan tumpuan etnik ini umumnya adalah kawasan pedalaman Borneo Utara seperti Tenom, Sipitang, Keningau, Pensiangan, Kalabakan dan Kinabatangan. Umumnya kegiatan utama penduduk ini adalah pertanian dan perburuan. Terdapat beberapa suku di dalamnya antaranya Murut Tagal, Murut Tidung, Murut Timugon, Murut Sembakung, Murut Paluan dan lain-lain.


Gambar sumber ihsan daripada Google
Pakaian tradisional masyarakat Murut

Selain daripada 3 suku kaum bumiputera Sabah ini, terdapat juga suku kaum minoriti yang lain antaranya Iranun, Bisaya, Lun Dayeh, Sino, Bugis dan banyak lagi.